Friday, August 12, 2005

mytheory27

Pelajaran dari Jerebu

Saya sedang bercuti. Biasanya kalau disebut bercuti,akan dilafazkan cuti itu dengan suara paling riang dan wajah paling ceria. Andaikan mata yang bulat bersinar-sinar (macam anime Jepun), bibir yang melebar senyumnya dan badan yang terjungkit-jungkit.

Tapi saya tengah bercuti kerana jerebu.

Bukan saya tidak mahu gembira, atau sekurang-kurangnya berpura-pura gembira. Ia cuma terlalu sukar. Tekak saya sakit, jadi suara yang keluar hampir saja sedih bunyinya. Mata saya juga sedikit berair kerana pedih, pun itu bukan petanda orang bergembira.

Jadi 'saya tengah bercuti' adalah suatu fakta. 'Bercuti itu sangat menggembirakan' hanyalah suatu inferens atau kesimpulan yang belum tentu betulnya.

Mungkin ia boleh jadi menggembirakan kalau saya berada di kampung. Enak-enak tanpa udara kesat begini :)

..................

Tiap-tiap tahun pun kita jerebu. Yang bezanya cuma adalah samada jerebu itu biasa-biasa saja atau 'mengancam hidup' kita. Sebab dah biasa, maka kita tak ambil peduli sangat. Kita cuma bising sebab ia dah mula menyusahkan.

Pada pandangan saya, kita perlu keluar daripada zon selesa dan mula membuat penelitian terhadap segala sesuatu. HENTIKAN BUDAYA BERTANGGUH. Hentikan budaya boleh menyiapkan sesuatu kerja lebih awal, tetapi sengaja dibiar/ lambatkan kerana 'masih punya masa'.

Samada Suruhanjaya Bertindak Untuk Jerebu, atau Badan Bertindak Alam Sekitar, atau apa-apa sahajalah yang bertindak untuk keadaan 'darurat', kita perlu sentiasa bersedia. Jangan jadi mangsa situasi.

Tsunami datang dan kita kecoh-kecoh. Jerebu datang dan kita bising-bising. Banjir datang dan kita riuh-riuh. Segala macam bantuan, segala jenis perhatian dan segala suatu tindakan.

Lepas tu, diam. Lepas two, three. Normal balik, biasa balik. Buat-buat lupa yang ia boleh datang lagi, mungkin datang lagi.

Sebagai pihak berkuasa, sebarang potensi pada IPU boleh menjadi satu jangkaan untuk tindakan menghadapi jerebu. Tanda-tanda jerebu, bahaya jerebu, cara mengatasi masalah jerebu dan tindakan untuk mengelakkan ancaman kesan jerebu sepatutnya boleh dilaksanakan secara lebih awal dan berkesan. Media tidak patut menjadi satu-satunya sumber sebaran.

Sebagai rakyat, kita sepatutnya lebih peka dan proaktif. Kita patutnya tahu kesan berdegil menggunakan juga kenderaan peribadi tanpa had. Tak patut kita teruskan sebarang pembakaran secara terbuka. Membeli-belah mahupun bersiar boleh ditangguhkan ke hari lain. Amat menyedihkan bahaya jerebu menjadi 'sifar' di kawasan Mega Sale'.

...............

Jerebu adalah lambang ketidakpastian. Ia lambang siang yang kelam. Jarak penglihatan kita terhad. Apa yang patut kita nampak, kita tak nampak.

Yang peliknya mengikut statistik daripada unit trafik, jumlah kemalangan melibatkan semua kenderaan menurun secara mendadak. Bukan saja kemalangan maut, bahkan kemalangan melibatkan kecederaan kecil. Jumlah jenayah besar pun setakat ini berkurangan.

:) Mungkin inilah nilai kemanusiaan. Merasa dirinya teramat pandai, tahu serba-serbi. Lalu dia melakukan segala sesuatu yang pasti, termasuk yang salah dan merosakkan.

Bila dah jerebu, bila dah tak pasti, baru dia mula berhati-hati. Yang benar-benar nampak saja ada. Yang nampak tak nampak tu, lain kira. Jangan gopoh-gopoh, tenang.

Kita benci jerebu. Kita tidak suka ketidakpastian. Tapi kata watak Teacher Suraya dalam karya Memerdekakan Cinta Ratna, tulisan Sri Rahayu Mohd Yusop:

"Sesungguhnya setiap segala sesuatu itu ada hikmahnya. Walau kita perlu seribu tahun untuk memahaminya."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home